in , ,

Damok hampir melangkah ke Kejuaraan Dunia Moto3

Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok kini semakin hampir untuk mengesahkan kedudukan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 buat musim hadapan setelah mempamerkan aksi mantap serta cukup kompetitif pada saingan CEV Moto3.

Pengurus SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin berkata, pihaknya akan mengumumkan berita baik tersebut pada 15 Oktober tidak lama lagi, namun masih belum lagi mendedahkan pasukan dimaksudkan sebaliknya mengakui pasukan itu berpengalaman dalam saingan CEV dan kini membuat kemunculan debut pada Kejuaraan Dunia Moto3.


“Kita sedang berusaha untuk membawa Damok ke MotoGP dalam tempoh terdekat. Buat masa ini, kita telah adakan perbincangan dan segalanya di­lihat berjalan lancar malah hampir mencapai persetujuan.

“Justeru, kita akan umumkan senarai pelumba dan pasukan pada 15 Oktober ini. Nampak gaya kita berjaya untuk hantar pelumba pelapis ke Kejuaraan Dunia Moto3 pada tahun hadapan.

Menurut Zulfahmi, pasukan tersebut baru dan datang dari kejuaraan CEV serta mempunyai rekod keputusan terbaik dalam kejuaraan tersebut.


“Jadi tungguhlah pada 15 Oktober nanti. Apa pun peluang kita untuk mendapatkan slot ini adalah bantuan daripada Dorna dan juga Datuk Razlan Razali (Sepang Racing Team),” kata­nya pada sesi sidang akhbar secara maya semalam.

Sehubungan itu, Zulfahmi turut berkongsikan mengenai seorang lagi pelumba muda negara iaitu Adam Norrodin untuk ke Kejua­raan Dunia Moto2.

“Bagi Adam, kami belum pasti lagi kerana buat masa ini slot Moto2 penuh dan kita sedang berusaha untuknya. Jika tidak, kita akan cari tempat terbaik buatnya pada tahun depan,” tambahnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lebuhraya CSR subpakej 5D akan dibuka 7 Oktober ini

Perkhidmatan media sosial tergendala, kekayaan Mark Zuckerberg susut AS$6 bilion