in ,

Cubaan seludup dadah berilai RM1.296 juta ke negara jiran gagal

Serian: Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu bernilai RM1.296 ke negara jiran gagal apabila tumpas ditangkap Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 18 September, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditangkap anggota PGA yang bertugas dalam Op Benteng sekitar jam 5 pagi di Kilometer 8 berhampiran Kampung Sejijak di Jalan Tebedu-Serian.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan pelbagai jenis guna (MPV) yang dipandu suspek didapati terdapat empat beg mengandungi syabu seberat 36 kilogram bernilai RM1.296 juta.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai ‘penghantar’ dadah tersebut dari Miri dengan upah RM2,000 bagi setiap 1 kilogram dadah yang dihantar,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian semalam.

Jelas beliau, kesemua dadah yang dirampas daripada suspek disembunyikan dalam bungkusan teh China bagi mengaburi pihak berkuasa dan dipercayai dadah itu datang dari Semenanjung disebabkan bungkusannya serupa dengan bungkusan dadah yang berjaya dirampas sebelum ini di Semenanjung.


“Dadah dibawa masuk ke Miri dan dihantar suspek ke Indonesia kepada seorang lelaki yang tidak dikenali bagi pasaran di negara tersebut yang bernilai dua kali ganda lebih tinggi ekoran permintaan yang tinggi di sana.

“Suspek mengaku terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah tersebut sejak April tahun ini dan mendedahkan pernah membuat empat transaksi (penghantaran) iaitu 18 kilogram (dadah) bagi setiap transaksi dengan upah yang sama (RM2,000 setiap kilogram).

“Bagaimanapun, kali ini suspek berjaya ditumpaskan,” tambahnya.

Selain itu, suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah wang tunai RM572, jam tangan dan kereta MPV yang digunakan suspek.

Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika disabitkan kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyekat dan melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah.

“Maklumat juga akan disalurkan kepada Bahagian Risikan Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman,” kata beliau.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Nur Sajat sah di tahan Imigresen Thailand

Anwar bidas hujahan Takiyuddin dari luar Parlimen