in ,

COVID-19: Taiping diisytihar zon merah

TAIPING: Mukim Taiping diisytihar zon merah oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak susulan pengesanan 77 kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari.

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, JKN Perak berkata, 48 daripada 52 kes jangkitan baharu yang direkodkan di Perak semalam adalah dari mukim berkenaan.

Katanya, 48 jangkitan terbaharu itu membabitkan banduan lelaki berusia antara 35 hingga 65 tahun yang ditempatkan di sebuah pusat tahanan di Kamunting, dekat sini.

“Saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19 kali pertama dilakukan terhadap semua kes berkenaan pada 3 Oktober lalu disebabkan mereka adalah kontak rapat kepada satu kes positif COVID-19, tetapi keputusannya negatif.

“Kes positif itu mempunyai sejarah pergerakan ke Penjara Alor Setar pada 27 dan 28 September 2020. Bagaimanapun pada 10 Oktober lalu, dia mula demam dan menerima rawatan di klinik pusat tahanan terbabit.

“Seterusnya pada 13 Oktober 2020, sampel kedua ujian PCR diambil, dengan keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) kedua pada 14 Oktober 2020 menunjukkan positif,” katanya.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, semua mereka yang positif berada di pusat tahanan berkenaan sepanjang 14 hari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, JKN Perak berkata, empat lagi kes positif di Perak membabitkan dua individu di daerah Hilir Perak dan dua lagi dari Hulu Perak.

“Semua 52 kes ini sudah diasingkan dan menerima rawatan dan pengesanan kontak rapat sedang dilakukan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata kluster baharu dikesan di Perak, setakat semalam, iaitu Kluster Bah Pengkalan yang mana kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. -BERITA HARIAN

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19: RM3 bilion untuk sediakan vaksin percuma

‘Jika Anwar berjaya, kerajaan pimpinannya tetap goyah’