in ,

COVID-19: PBB, Bank Dunia rayu sekolah kekal dibuka – Laporan

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia dalam satu laporan baharu, semalam, merayu agar sekolah kekal dibuka walaupun dunia berdepan ancaman wabak COVID-19.

Pihak terbabit sekali gus menekankan kesan teruk akibat pandemik itu terhadap pendidikan kanak-kanak, terutama di negara miskin.

Menurut laporan itu, kanak-kanak di negara miskin tidak memperoleh sebarang akses pendidikan selama hampir empat bulan sejak penularan COVID-19, awal tahun ini.

Kanak-kanak di negara maju yang dapat mengakses pembelajaran mudah alih pula kehilangan pendidikan selama enam minggu.

Ketua Pendidikan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Robert Jenkins, berkata keutamaan untuk pembukaan semula sekolah dan mengejar pembelajaran yang ketinggalan, adalah begitu kritikal.

“Kita tidak perlu melihat jauh untuk menyaksikan kemusnahan terhadap pembelajaran kanak-kanak di seluruh dunia akibat pandemik itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, kesan terbabit adalah lebih teruk di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang kekurangan akses kepada pembelajaran jarak jauh, selain menghadapi kemungkinan lebih tinggi pembukaan semula sekolah terus ditangguhkan serta kekangan sumber untuk mengurangkan risiko kesihatan.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) serta Bank Dunia turut menekankan bahawa negara serata dunia perlu segera menumpukan pelaburan dalam sistem persekolahan.

Langkah itu penting bagi mengurangkan jurang pendidikan yang semakin meluas antara negara miskin dengan kaya akibat pandemik COVID-19.

Laporan oleh UNICEF, UNESCO dan Bank Dunia itu adalah berdasarkan maklumat dikumpul daripada lebih 150 negara antara Jun hingga Oktober lalu. – AFP

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dua usul undi percaya kepada PM tersenarai dalam aturan mesyuarat

Harga sawit dijangka kekal atas RM3,000 satu tan hingga hujung tahun