in ,

COVID-19: Lebih 10,000 pegawai, anggota polis dikuarantin

Police officers wearing protective masks show a placard to a driver at a roadblock set up to enforce movement control order due to the outbreak of the coronavirus disease (COVID-19), in Kuala Lumpur, Malaysia March 23, 2020. REUTERS/Lim Huey Teng

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurang 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif COVID-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kadar tinggi jangkitan dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), membantutkan keupayaan dan kekuatan pasukan itu dalam penugasan menjaga keselamatan serta keamanan negara.

Beliau berkata, pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah wabak itu kerana berada paling hampir dengan rakyat yang belum dipastikan tahap jangkitan.

“Penularan COVID-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah risiko jangkitan wabak itu.

“Walaupun memakai pelitup muka, penugasan anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat.

“Penjarakan fizikal tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, ada anggota polis turut ditugaskan membantu pihak imigresen untuk menghalang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Menerusi Op Benteng antara 1 Mei hingga 18 Oktober lalu, pasukan keselamatan telah menahan 497 PATI dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak,” katanya sambil mengaku bahawa sumber dan kekuatan polis telah digunakan pada tahap maksimum.

Hamzah sekali gus menyeru rakyat Malaysia supaya menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak COVID-19 sebagaimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menegaskan, penghargaan tertinggi harus diberikan kepada PDRM kerana sejak penularan wabak itu, ramai dalam kalangan anggota polis telah berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.

“Ramai juga antara mereka masih belum berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga.

“Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

– BERNAMA

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

PAS sokong Muhyiddin

1 maut, 4 hilang kapal Dayang Topaz karam di Kuala Baram