in ,

COVID-19: Kuarters Penjara Seberang Prai dikenakan PKPD tengah malam ini

NIBONG TEBAL: Kuarters Penjara Seberang Prai di Jawi di sini, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa tengah malam ini.

Tinjauan mendapati beberapa sekatan yang dikawal anggota polis serta penjara didirikan di pintu masuk utama ke penjara serta kuarters berkenaan.

Selain itu, beberapa kenderaan Hospital Sungai Bakap dilihat memasuki kawasan berkenaan.

Kenderaan pacuan empat roda Jabatan Penerangan turut menyampaikan arahan menerusi pembesar suara supaya semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPD berkuat kuasa.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah, berkata pihaknya mengarahkan 120 kakitangannya yang tinggal di luar kawasan supaya berpindah ke kuarters sehingga arahan PKPD berakhir pada 4 November ini.

“Sepanjang pelaksanaan PKPD, tiada sesiapa dibenarkan masuk atau keluar dari kawasan ini tanpa kebenaran. Justeru, seramai 120 kakitangan penjara yang tinggal di luar kuarters, diarahkan berpindah ke kemudahan itu.

“Mereka akan ditempatkan buat sementara waktu di mes pegawai dan dewan serba guna,” katanya.

Zulkifli berkata, semua persiapan sewajarnya sudah disediakan sejak kes positif COVID-19 pertama dilaporkan.

“Jadi tiada masalah PKPD dilaksanakan kerana kita sudah bersedia,” katanya.

Ditanya sama ada ahli keluarga kakitangan penjara akan menjalani ujian saringan COVID-19, beliau berkata, perkara itu hanya akan dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan.

“Setiap hari akan ada banduan yang akan dibebaskan dari penjara. Bagi mereka yang akan dibebaskan minggu ini, ia akan dilakukan pada Jumaat ini.

“Mereka akan menjalani saringan dan jika ujian calitan adalah negatif, mereka akan dihantar ke pusat kuarantin terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail, berkata dua kes positif COVID-19 yang dilaporkan dalam penjara, membabitkan banduan.

Katanya, keputusan ujian COVID-19 membabitkan kakitangan penjara dan ahli keluarga mereka masih belum diperoleh.

“Kami berharap keputusan yang akan diterima adalah negatif,” katanya.

Semalam, kluster Penjara Jawi menyaksikan sembilan lagi kes positif COVID-19 membabitkan banduan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 95 kes setakat ini.

Tiga daripada jumlah itu adalah pegawai penjara.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Buruh paksa bukan lagi isu sawit negara ini – Khairuddin

Adakah Malaysia akan pertimbang undi pos semasa COVID-19