in ,

Cemar air, 636 syarikat kena tindakan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 636 syarikat diambil tindakan undang-undang selepas didapati terbabit dengan kesalahan pencemaran air, sejak Januari hingga 30 September lalu.

Tekad memerangi jenayah alam sekitar itu turut menyaksikan sebanyak 2,323 syarikat dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi peraturan pengurusan buangan terjadual.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika mendedahkan perkara itu berkata tindakan sedemikian diambil selepas pihaknya menjalankan 17,445 pemeriksaan terhadap premis di seluruh negara yang tertakluk dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, pemeriksaan sepanjang tempoh sama turut dijalankan terhadap premis berkaitan berdasarkan 7,872 aduan berhubung isu pencemaran alam sekitar.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,280 premis adalah tertakluk kepada peraturan berkaitan kawalan pencemaran air manakala pemeriksaan terhadap 7,389 premis menghasilkan buangan terjadual yang perlu diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Dalam hal ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil 7,402 tindakan tegas mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 merangkumi 1,159 tindakan undang-undang terhadap 636 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan pencemaran air.

“Ini merangkumi 751 kompaun, 380 notis arahan, tujuh premis digantung lesen, sembilan dikenakan penahanan operasi kelengkapan, satu perintah larangan dan 11 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan.

“Sebanyak 5,700 tindakan undang-undang ke atas 2,323 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual pula merangkumi 4,564 kompaun, notis arahan (1,130), premis digantung lesen (dua) dan empat penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Semak undang-undang pilihan raya sedia ada – ERC

Pasukan Thorium Dari UNITEN Juara Siswasat 2020