Bon 1MDB: Goldman Sachs bayar AS$122 juta kepada kerajaan Singapura

SINGAPURA: Goldman Sachs Singapore Pte (GSSP) akan membayar AS$122 juta (RM506 juta) kepada kerajaan Singapura atas peranannya dalam penawaran bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Butiran itu terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan awal pagi ini oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) republik itu.

Menurut kenyataan itu, CAD memberikan amaran bersyarat selama 36 bulan kepada GSSP selepas berunding dengan AGC.

Berikutan itu, GSSP membuat komitmen, antaranya ialah membayar AS$122 juta (RM506 juta) kepada Dana Disatukan kerajaan Singapura dalam tempoh lima hari bekerja daripada tarikh penerbitan amaran bersyarat itu.

GSSP juga akan membayar sejumlah AS$61 juta (RM253 juta) kepada pihak berkuasa Malaysia, yang akan dilunaskan dan/atau dikreditkan menurut Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA).

DPA dimeterai oleh Goldman Sachs Group Inc (GSG) dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

“Jumlah ini mewakili bahagian GSSP yang diperoleh daripada tawaran bon 1MDB.

“Oleh yang demikian, jumlah keseluruhan yang dibayar atau akan dibayar oleh GSSP di bawah amaran bersyarat adalah AS$183 juta (RM759 juta),” menurut kenyataan itu.

CAD Singapura sudah menyiasat GSSP dan dua bekas pengarah urusannya, Tim Leissner dan Ng Chong Hwa @ Roger Ng, berkaitan tiga tawaran bon yang ditaja jamin oleh Goldman Sachs International untuk anak-anak syarikat 1MDB.

Leissner ketika itu berpangkalan di Hong Kong sebagai pegawai bertanggungjawab kepada Goldman Sachs (Asia) LLC (GSA).

Menurut kenyataan sama, GSA terbabit secara signifikan dalam tiga penawaran bon 1MDB sementara Leissner berperanan dalam mendapatkan perjanjian bon daripada 1MDB.

Pada 22 Oktober, Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) Hong Kong mengumumkan bahawa mereka sudah menegur dan mendenda GSA sebanyak AS$350 juta (RM1.45 bilion).

Denda itu dikenakan kerana kehilangan serius dan kekurangan dalam pelbagai kawalan yang menyumbang kepada penyalahgunaan sebahagian dana yang diperoleh dalam tawaran bon 1MDB.

Pada Ogos 2018, Leissner mengaku bersalah di Mahkamah Daerah AS atas satu tuduhan konspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing dan satu tuduhan kerana konspirasi melakukan pengubahan wang haram.

Leissner mendedahkan bahawa Low Taek Jho memberitahunya dan Ng bahawa sebahagian daripada hasil bon 1MDB akan dibayar sebagai sogokan atau rasuah kepada pegawai tertentu di Malaysia dan Abu Dhabi.

Leissner juga mengakui menyimpan sebahagian dana yang dialihkan untuk kegunaan peribadinya.

DPA menyediakan satu resolusi global, yang dipimpin Jabatan Kehakiman AS dan antara lain, membincangkan dengan Singapura, mengenai peranan GSG dalam penawaran bon yang berkaitan dengan 1MDB.

Sebagai sebahagian daripada DPA, GSG dan sekutunya akan membayar kira-kira AS$2.3 bilion (RM9.4 bilion) kepada pihak berkuasa AS. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *