in ,

Bina jambatan ketiga Pulau Pinang

George Town: Sebahagian daripada Projek Tiga Lebuh Raya Utama dan Terowong Bawah Dasar Laut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membina sebuah jambatan sebagai link ketiga yang menghubungkan pulau ke tanah besar.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

“Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan ketiga bagi menggantikan terowong dasar laut, namun cadangan itu belum lagi dipertimbangkan.

‘Sebarang pertimbangan berhubung pembinaan jambatan itu hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu, Kerajaan Negeri sudah banyak kali jelaskan mengenai perincian projek yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka pada tahun 2012, namun masih banyak berlakunya penyelewengan fakta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sekali lagi saya memperjelaskan, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi keempat-empat pakej tersebut (tiga lebuh raya dan terowong bawah dasar laut) keseluruhannya berjumlah RM305 juta.

“Namun, hanya RM208 juta telah dibayar melalui kaedah ‘exchange land’ kepada kontraktor CZCSB bagi kajian kebolehlaksanaan serta reka bentuk terperinci untuk tiga lebuh raya sahaja.

“Tiada bayaran dibuat bagi terowong bawah dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh Kerajaan Negeri,” tegas Kon Yeow.

Jelas beliau, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZCSB adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

“Status kajian kebolehlaksanaan berkaitan projek terowong dasar laut tersebut telah siap dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal serta agensi-agensi Persekutuan diterima,” ulas beliau lanjut.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pembentangan Matlamat Utama RMKe-12

Saran kerajaan perkenalkan skim pencen sosial dan tingkatkan peluang pekerjaan