in , ,

Bicara Tanpa Bunyi

Dari jauh mereka nampak normal, malah kelihatan sempurna dari luaran. Apabila kita memulakan perbualan, mungkin mereka hanya merenung tanpa membalas dengan tutur bicara.

Pasti terdetik dihati kita, pekakkah orang ini? Bisukah hingga tidak mahu membalas bicara?

Dilahirkan cacat pendengaran dan pekak atau masalah kesihatan yang menjurus keadaan ini menyebabkan golongan ini mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling.

Hanya bahasa isyarat yang dapat membantu mereka berkomunikasi dan menunjukkan ekspresi diri.

Bahasa isyarat ialah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Namun, berapa ramai dalam kalangan kita memahami bahasa isyarat? Adakah hanya golongan pekak dan bisu yang harus mempelajarinya?

Peserta mempelajari bahasa isyarat.

Di Malaysia, masih ramai beranggapan bahasa isyarat hanya perlu dipelajari golongan pekak dan bisu mengakibatkan golongan OKU pendengaran dan pertuturan terus disisih dan dipinggirkan daripada kegiatan kemasyarakatan kerana tidak ramai yang boleh ‘berbicara’ dengan mereka.

Menyedari pentingnya pembabitan masyarakat untuk mendekati golongan ini, Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) baru-baru ini mengadakan Projek Tunawicara dengan sasaran peserta adalah belia muda dari kawasan berisiko dadah dan juga orang asli di Gombak. 

Projek kali ini lebih unik kerana ia dijalankan di dalam hutan perkampungan orang asli dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), MAYC Setiawangsa, Sign ON dan Jungle School Gombak (JSG).

Kursus sehari yang diadakan buat kali ketiga itu terdiri daripada dua sesi iaitu sesi dimulakan dengan Santuni Alam (Sempena Hari Ozon Sedunia).

Peserta dibawa masuk ke dalam hutan Sungai Pisang oleh Ketua Pegawai Eksekutif JSG Mejar Kalam bagi merasai aktiviti tradisional orang asli bersama Pengasas JSG Prof Madya Dr Norzalifa Zainal Abidin.

Rata-rata peserta menzahirkan keterujaan mereka dengan pengalaman baru seperti meredah hutan dan berinteraksi bersama orang asli serta melakukan aktiviti seperti menganyam nipah untuk dijadikan topi dan gelang, menyumpit dan bermain gasing mengunakan biji buah berangan.

Peserta berkesempatan belajar menganyam daun nipah

 

Demo masakan nasi buluh oleh komuniti orang Asli.

Selain itu, mereka turut merasai hidangan nasi dan ayam yang dimasak didalam buluh menerusi demo yang dikendalikan oleh orang asli tempatan.

Sesi kedua diteruskan dengan Kursus Bahasa Isyarat Projek Tunawicara 2020 sempena Hari Bahasa Isyarat Sedunia yang mana peserta diajar mendalami ilmu asas bahasa isyarat.

Kelas yang dikemudikan oleh Pengasas Sign ON, Mohd Armi Rusli memfokuskan topik pengenalan huruf, nombor, kata ganti nama, kata tanya, keluarga dan negeri. 

Mohd Armi mengajar peserta asas bahasa isyarat.

Selain itu, beliau turut memberi pendedahan kepada peserta cara pemperkenalkan diri kepada OKU pekak. Kegembiraan jelas terpancar di wajah peserta dan warga orang asli mempelajari bahasa isyarat iaitu komunikasi tanpa bunyi.

Presiden MOVE, Syed Zainal Abidin Jamallulail Syed Abdul Aziz berkata, 30 peserta yang hadir adalah daripada inisiatif Projek MOVE PPR Warriors membabitkan belia dari tiga kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu Gombak Setia, Air Panas dan Sungai Bonus. 

Tunggak MOVE, Syed Zainal Abidin sentiasa mencari peluang dekatkan masyarakat dengan golongan OKU.

Inisiatif ini katanya diwujudkan sejajar dengan matlamat MOVE iaitu untuk memberi pendedahan kesedaran sosial dan pembangunan kemahiran kesukarelawanan.

Tambah Syed Zainal, penganjuran kelas itu sebagai tanda keprihatinan pertubuhan menerusi peluang kepada orang awam terutamanya sukarelawan untuk mempelajari bahasa isyarat untuk lebih memahami golongan OKU pendengaran memandangkan kebanyakan kelas berkenaan terhad kepada OKU.

Di Malaysia, tidak semua orang tahu bahasa isyarat, kadang-kadang ramai berminat, tetapi tidak tahu hendak belajar di mana berbanding OKU cacat pendengaran dan bisu apabila kebanyakannya mendapat pendedahan di sekolah pendidikan khas serta institusi atau persatuan yang menyediakan kelas khusus untuk memudahkan mereka berinteraksi.

Bagi saya, kita juga perlu belajar asas bahasa isyarat bagi memudahkan interaksi dengan OKU. Jadi, kami bekerjasama dengan SignOn bagi menganjurkan kursus ini untuk orang awam.

Bagi menambah keunikan projek, kami jalankan di dalam hutan Gombak untuk menyantuni alam dan orang asli di situ sekaligus peserta dapat belajar budaya dan aktiviti tradisional orang asli.

Turut menzahirkan rasa bangga, Koodinator Projek MOVE PPR Warriors Nur Ayuni Mazlan, kerana projek adalah kolaborasi sulung mereka bersama (AADK) dan MAYC Setiawanga membabitkan belia muda dari kawasan berisiko dadah. 

Peserta diberi peluang belajar adat dan budaya orang Asli.

Katanya, peluang itu harus dimanfaatkan sepenuhnya kerana selain memperkasakan jati diri sebagai sukarelawan kita mahu peserta juga dapat menjadikan bahasa isyarat sebagai wadah untuk mendekatkan diri dan bergaul dengan golongan OKU pekak dan semoga bahasa isyarat menjadi bahasa yang sama penting dengan bahasa lain.

KENALI TIGA JENIS KECACATAN PENDENGARAN

Terdapat 3 jenis kecacatan pendengaran:

Conductive (gangguan aliran bunyi) – Masalah pada bahagian tengah dan luar telinga. Biasanya memberi kesan yang sama kepada semua gelombang bunyi dan tidak teruk.

Sensorineural (saraf deria) – Masalah pada bahagian dalam telinga / saraf ‘auditory’. Bunyi yang diterima menjadi berubah kerana gelombang menjadi tidak sama rata walaupun dengan penggunaan alat bantuan pendengaran

Mixed (gabungan) – Adalah kombinasi kedua-duanya

Kehilangan pendengaran mempunyai 4 tahap iaitu kurang, sederhana, teruk dan sangat teruk. Pendengaran sangat teruk juga dikenali sebagai pekak atau tuli.

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

D614G: Virus Super?

Thailand isytihar darurat, larang perhimpunan