in ,

Beribu laporan polis dibuat terhadap ustaz kontroversi

Kuala Lumpur: Kira-kira 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Ahad lalu di sini, berkaitan seorang pemimpin agama tempatan yang didapati membuat kenyataan menyinggung perasan penganut agama lain.

S. Shashi Kumar, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global merangkap wakil jurucakap kumpulan itu berkata, sekurang-kurangnya 3,000 laporan polis dari seluruh negara akan dibuat terhadap penceramah tempatan, Ustaz Syakir Nasoha kerana didakwa menghina serta memfitnah penganut agama Hindu dan Buddha termasuk orang Dayak, dalam ceramahnya.

“Penceramah itu berkata ‘orang kafir’ akan menyerang orang Islam. Malah ada pihak cuba padam keterangan serta (video) TikTok berkenaan, tapi kami berjaya peroleh keterangan itu.

“Orang bukan Islam di Malaysia sengaja ‘diserang’. Saya tak tahu apa yang dirancang dan apa yang sedang berlaku,” katanya di hadapan IPD Sentul setelah selesai membuat laporan.

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global meminta pihak berkuasa supaya menahan serta mendakwa penceramah tersebut atas kenyataan yang dibuatnya termasuk menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bertindak atas isu tersebut, kerana dipercayai mampu mengancam keharmonian negara.

“Kami, orang bukan beragama Islam, bosan menjadi sasaran. Cukuplah,” tambah Shashi Kumar.

Laporan tersebut mendakwa, Syakir Nasoha telah membuat kenyataan fitnah menerusi dua video ceramahnya, berjudul ‘Lima Bidang Ilmu Dalam Al-Quran’ dan ‘Nak Syurga Tapi Takut Nak Berjuang’ di masjid Abu Bakar As-Siddiq, Kedah yang telah di muat naik pada Disember 2017 lalu, baru-baru ini muncul semula.

Laporan dibuat di IPD Sentul itu mendakwa penceramah agama tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan mereka yang mencetuskan ketidakharmonian, pepecahan, permusuhan, kebencian, berniat jahat serta prasangka yang mempengaruhi pemeliharaan keharmonian atau perpaduan atas dasar agama.

Sementara itu, pentadbir laman media sosial Syakir Nasoha ketika dihubungi pihak media telah memberi pautan kepada video penuh ceramah tersebut.

“Sila fahami dengan baik secara keseluruhan,” katanya.

Pihak media sedang berusaha mendapatkan respon penceramah itu sendiri.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Menyamar pegawai bank lesapkan duit mangsa lebih RM57 ribu

RM165,000 dalam akaun bank hilang dicuri rakan