in ,

Bekalan elekrik premis judi online dipotong dan diserbu pihak berkuasa

Kuala Lumpur – Pusat judi dalam talian yang berkeras kepala menjalankan operasi di Jalan Lebuh Pudu di sini, berkesudahan dengan premis berkenaan diserbu pihak berkuasa dan bekalan tenaga elektrik di premis tersebut dipotong pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur (SAC), Saiful Annuar bin Yusoff berkata, pemotongan bekalan elektrik dilakukan anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam lebih kurang 3.00 petang, atas permohonan dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).

“Mana-mana premis yang telah diputuskan bekalan elektrik tidak boleh disambungkan semula kepada premis terbabit oleh pihak pembekal atau pemegang lesen, tanpa kebenaran dari pihak polis.


“Pemilik premis perlu mendapatkan kelulusan bertulis dari pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Timbalan Penguasa dan Ketua Polis Daerah untuk penyambungan semula,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurut beliau, menerusi Op Dadu dijalankan, pihak polis dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Dang Wangi turut melakukan serbuan ke atas premis perjudian tersebut pada jam 7.00 malam dan berjaya menahan seramai 17 individu.


“Seramai dua warga asing (penjaga premis) berusia 24 tahun dan 15 orang warga tempatan (pemain judi) berusia antara 24 hingga 61 tahun ditangkap kerana bermain judi secara atas talian dengan menggunakan komputer riba serta peranti mudah alih.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai kelengkapan perjudian termasuk sembilan buah komputer riba, sebelas tablet, buku catatan perjudian, telefon bimbit dan wang tunai RM664.

“Siasatan telah selesai dijalankan dan semua tangkapan telah dituduh pada 25 Oktober di bawah peruntukan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” tambahnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Mamat Khalid, seniman tanah air disanjungi meninggal dunia

Lebih 800 ribu pekerja hilang pendapatan terima bantuan BKP