KUALA LUMPUR: Majikan perlu membayar gaji seperti biasa kepada pekerja yang bekerja dari rumah (BDR) berikutan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata majikan tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan ataupun mengambil cuti tanpa gaji.
Katanya, perkara itu selaras dengan perintah dan kenyataan dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Namun, majikan boleh berbincang dengan pekerja dalam apa juga tindakan dan keputusan diambil demi kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Arahan BDR itu susulan sidang media, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Selasa lalu dan kenyataan media Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa pekerja di kawasan PKPB diarahkan untuk BDR dengan syarat tertentu.
Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-88862352,03-88862409 atau 03-88889111.