in ,

Bas percuma untuk warga Putrajaya

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma bagi pengguna di pusat kerajaan ini, bermula 1 November ini.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar berkata, sebanyak 40 bas percuma disediakan sebagai antara inisiatif bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pendemik COVID-19.

Menurut beliau, perkhidmatan bas percuma ini akan bermula dengan 10 bas yang akan ditambah secara berperingkat-peringkat dan pengguna boleh mendaftar bagi mendapatkan kad percuma, manakala warga asing dikenakan caj RM1.50 bagi setiap perjalanan.

Katanya, kemudahan bas percuma itu membabitkan kesemua laluan bas Nadi Putra bawah kendalian Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel &Tour Sdn Bhd (PAPTT) membabitkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Selain dapat meningkat aktiviti pelancongan domestik di pusat kerajaan ini ia juga mampu membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bas Percuma di hentian bas Persiaran Perdana, Presint 2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PPj, Datuk MuhammadAzmi Mohd Zain dan Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi.

Laluan perkhidmatan bas percuma ini bermula di Kompleks E (T500) melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak bermula jam 6.30 pagi sehingga 9 pagi dan 4 petang sehingga 6.40 petang.

Bas itu akan bergerak setiap 10 minit pada bukan waktu puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

Rosida berkata, perkhidmatan bas itu juga melalui 11 laluan kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4.

Katanya, kekerapan bagi laluan ini adalah setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Setakat ini 4,000 pengguna sudah mendaftar dan mereka berpeluang menggunakan perkhidmatan percuma untuk ke tempat kerja dan urusan seharian.

“Inisiatif bas percuma ini membabitkan anggaran kos berjumlah RM12 juta setahun dan dijangka meningkat 50 peratus pertambahan penumpang pada 2021,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

PM tiba di Bangunan Perdana Putra

Semua pihak perlu patuh titah Agong