in ,

Askar mengamuk di rumah mertua tembak diri sendiri

Kuching –Seorang anggota tentera bertindak menembak dirinya sendiri selepas dikatakan melepaskan beberapa das tembakan di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di sini, pada Rabu semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan (SUPT.), Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, suspek berusia 28 tahun tersebut pulang ke rumah keluarga isterinya untuk berbincang masalah dihadapinya.

Katanya, ketika berbincang dengan isterinya, suspek tiba-tiba marah dan mengambil senjata api dipercayai senapang jenis Colt M4 Carbine yang disimpan di kereta.

“Suspek kemudian terus melepaskan beberapa das tembakan di bahagian ruang tamu dan dapur di dalam rumah itu sehingga menyebabkan ibu mertuanya yang berusia 58 tahun terkena tembakan di bahu kiri,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Abang Zainal, suspek kemudian berjalan ke bahagian hadapan rumah dan terus menembak diri sendiri di bahagian dagu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Difahamkan, suspek dari kem tentera di Tondong dan ketika kejadian dia masih bertugas sebagai anggota pemantauan pematuhan SOP COVID-19 bagi daerah Bau.

“Suspek meminjam kereta rakan untuk ke rumah keluarga isterinya di Kolong 1 dan difahamkan, dia dan isterinya dalam proses perceraian.

“Ibu mentua suspek telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan dan anggota polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan pihak polis menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

PDRM uji cuba 5 kereta peronda mewah

Angka mangsa maut akibat ribut tropika di Filipina dijangka meningkat