in ,

AS-Indonesia perkasa hubungan ketenteraan, maritim

JAKARTA: Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama keselamatan pertahanan dan maritim antara kedua negara susulan pertemuan Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di Washington, Jumaat lalu.

Kedua-duanya membincangkan keselamatan wilayah, keutamaan pertahanan dua hala dan aset pertahanan, menurut Jabatan Pertahanan AS.

“Kedua-dua pemimpin berkongsi hasrat untuk meningkatkan ketenteraan dua hala dan bekerjasama dalam keselamatan maritim.

“Esper juga menyatakan pentingnya hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan profesionalisasi ketika kedua negara itu meluaskan hubungan mereka sementara Prabowo menyatakan pentingnya pembabitan tentera di semua peringkat,” menurut kenyataan yang dilaporkan The Jakarta Post.

Sebelum ini, AS dipercayai menyenaraihitamkan Prabowo berikutan pelanggaran hak asasi manusia di Timor Timur dan pada hari terakhir pentadbiran Presiden, Soeharto pada 1997 hingga 1998.

Pelanggaran hak asasi manusia juga menyebabkan penggantungan kerjasama dengan Tentera Indonesia (TNI) dan Pasukan Komando Khas Tentera Darat (Kopassus).

Penggantungan ke atas Kopassus dihentikan pada 2010. Dalam pada itu, Prabowo juga menghargai sokongan AS terhadap pemodenan pertahanan Indonesia.

Namun begitu, masih belum ada pengumuman rasmi mengenai perjanjian aset senjata dengan Pentagon, walaupun Indonesia menyatakan minatnya terhadap beberapa sistem senjata buatan AS seperti helikopter CH-47 Chinook, pesawat hibrid MV-22 Osprey atau jet pejuang F-16 Fighting Falcon, jet pejuang F-15 Eagle dan F-35 Lightning II.

Satu-satunya hasil kolaborasi yang jelas daripada pertemuan yang berlangsung Jumaat lalu adalah menandatangani Memorandum Hasrat (MOI) bagi meneruskan usaha Tahanan Perang Kementerian Pertahanan / Agensi Perakaunan Pertahanan (DPAA) untuk menyambung semula kerja di Indonesia bagi mengembalikan jasad anggota AS yang hilang di negara itu ketika Perang Dunia kedua, menurut kenyataan itu.

“Kedua-dua pemimpin menyatakan simpati kepada mereka yang terkena COVID-19 di AS dan Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, tiada pengumuman rasmi dari Kementerian Pertahanan Indonesia dan juga mengenai tujuan Prabowo.

Sementara itu, Prabowo juga akan melakukan lawatan ke Vienna untuk bertemu rakan sejawatannya, Klaudia Tanner sebelum bergerak ke Paris dengan tujuan yang sama.

Januari lalu, Prabowo melakukan lawatan ke Perancis dan dilaporkan berminat dengan beberapa aset ketenteraan di negara itu. – AGENSI

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shah Iskandar timang anak lelaki

Warga Russia hadapi pertuduhan penipuan siber RM655 juta