in ,

Arak kontroversi kekal guna jenama Timah di pasaran

Kuala Lumpur – Kerajaan memutuskan untuk membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. untuk terus kekal menggunakan jenama Timah di pasaran tetapi dengan bersyarat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sudah membuat pertemuan dengan syarikat tersebut untuk berbincang menangani masalah itu.

“Bagaimanapun, syarikat terbabit dikehendaki menyertakan label tambahan pada botol wiski berkenaan bagi menjelaskan bahawa nama produk itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah, seperti yang diusulkan oleh syarikat itu sendiri.

“Saya kemudian membawa usul syarikat itu ke kabinet dan kabinet bersetuju dengannya,” katanya.

Alexander memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat setelah Winepak bersedia untuk mengubah nama serta imej pada label produk tersebut, namun memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah pada 28 Oktober lalu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya isu yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

Sebelum ini, jenama arak Timah menjadi isu hangat pelbagai pihak apabila namanya dikaitkan dengan nama anak Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Fatimah, manakala lelaki yang dipaparkan di botol arak itu seperti menggambarkan seorang lelaki Islam kerana berjanggut serta memakai kopiah.

Namun, Winepak menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa nama Timah itu hanya merujuk kepada bijih timah dan lelaki yang dipaparkan itu sebenarnya merujuk kepada Kapten Tristram Speedy, seorang penjelajah British di abad ke-19.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Individu tipu jual PS5 ditahan

Lebih 22 ribu doktor kontrak rancang mogok, letak jawatan beramai-ramai