in ,

Angin, ombak kuat dipercayai punca kapal Dayang Topaz hampir karam

MIRI: Ombak kuat dan ribut dipercayai faktor utama yang menyebabkan tali sauh kapal platform MV Dayang Topaz terputus lalu merempuh sebuah pelantar minyak di Kuala Baram, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman, berkata pihaknya menerima makluman berhubung insiden berkenaan pada jam 7.45 pagi tadi.

Katanya, maklumat awal diterima mengatakan, keadaan cuaca buruk dan faktor ombak tinggi sehingga mencecah lima meter menyebabkan kapal terbabit hilang kawalan lalu dihanyut ombak kuat.

“Sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 7.6 batu nautika, sejurus menerima panggilan berhubung kejadian bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dan turut disertai agensi maritim yang lain, ” tambahnya.

Bagaimanapun, katanya siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden berkenaan.

Md Fauzi menasihatkan, orang awam tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung insiden yang berlaku sehingga siasatan mengenainya selesai dijalankan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som dalam kenyataannya, berkata setakat ini seorang kru kapal disahkan meninggal, manakala empat lagi masih hilang dalam insiden berkenaan.

“Ketika kejadian, terdapat 187 kru berada dalam kapal berkenaan sebelum 125 daripada mereka terjun ke laut bagi menyelamatkan diri,” ujarnya.

Setakat jam 8. 45 pagi tadi katanya, seramai 121 kru berjaya diselamatkan oleh pasukan SAR yang turut serta usaha mencari dan menyelamat mangsa itu.

Ketika ini, pasukan SAR sedang giat menjalankan kerja mencari dan menyelamat empat lagi mangsa yang masih hilang di laut. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Mohd Zaidi angkat sumpah ADUN Slim

Arahan BDR masih terpakai sepanjang PKPB