in ,

Anak tergamak bunuh ibu maut dilanggar lori

Gurun – Seorang lelaki tergamak mengelar leher ibunya sehingga maut selepas berlaku pertengkaran di antara mereka dalam kejadian di Kampung Jeniang, Batu 5, Jalan Gurun Jeniang di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa, Sarah Jon, 70, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar sepanjang 12.7 sentimeter di leher akibat senjata dipercayai pisau tumpul.

“Mangsa turut mengalami kecederaan di tangan kanan serta telinga kiri dipercayai ketika mempertahan diri ketika diserang oleh anak bongsunya daripada empat beradik itu.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 hingga 7.00 pagi. Hasil temu bual bersama ahli keluarga dan jiran, kedua-dua mereka telah tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lalu dan dikatakan kerap bergaduh terutamanya melibatkan soal wang,” katanya.

Menurut Adzli Shah, pemeriksaan lanjut mendapati tiada tanda-tanda rumah itu dipecah masuk sebaliknya menemukan peralatan menghisap dadah termasuk baki dadah jenis syabu berhampiran pintu masuk utama.

“Selepas melakukan perbuatan itu, suspek berusia 31 tahun bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum meninggalkan motosikalnya di tepi jalan, kira-kira satu kilometer daripada rumahnya pada jam 7.30 pagi.

“Apabila sebuah tongki lalu di situ, suspek tiba-tiba bertindak nekad meluru ke tengah jalan dan maut dilanggar lori tersebut,” katanya.

Tambahnya, suspek seorang penagih dadah yang juga pesakit mental mempunyai enam rekod jenayah termasuk empat berkaitan dadah.

“Sehingga kini polis sedang menyiasat motif kejadian dan mencari senjata digunakan suspek. Setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” kata beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pulau Perhentian antara dilanda banjir kilat

Lebih 4 ribu doktor kontrak diberi jawatan tetap menjelang 2022