in ,

AMANAH usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri

RAWANG 10 JULAI 2018. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menyampaikan ucapan perasmian majlis pelancaran Minggu Keselamatan dan Keselamatan Pekerjaan peringkat Kebangsaan (WAFEW) 2018 di Pusat Latihan Perodua Sungai Choh Rawang. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini, mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Naib Presideh AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, berkata usul berkenaan dikemukakan mereka melalui notis yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini.

Beliau berkata, Ahli Parlimen parti itu bersetuju membawa usul berkenaan selepas mendapati Muhyiddin hilang keyakinan majoriti Ahli Parlimen bagi memimpin negara.

“Hari ini, hari terakhir untuk Ahli Parlimen menghantar usul…saya percaya kebanyakan Ahli Parlimen AMANAH sudah menghantar usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Kita ambil keputusan ini kerana jelas Muhyiddin gagal mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai sokongan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Semalam, lima Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) diketuai Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin bagi dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Muhyiddin sepatutnya mengemukakan senarai Ahli Parlimen kerajaan bagi dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong selain mendedahkannya kepada umum.

“Muhyiddin tidak boleh menyerahkan keadaan ini kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuat keputusan sukar, beliau kena ada keyakinan dan serah senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Jangan nanti kerana beliau tidak hantar, kita kena buat ujian keabsahan kerana keadaan ini boleh membuatkan Dewan Rakyat tergantung dan tidak boleh bersidang sehingga Perdana Menteri baharu dilantik,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sultan Selangor jalani saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga

IMPAK EKONOMI TERHADAP PEMANDU TEKSI DAN E HAILLING- TINJAUAN