in ,

Ahli Parlimen dititah sokong Belanjawan 2021

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli Dewan Rakyat memberi sokongan kepada pembentangan Belanjawan 2021.

Baginda bertitah, ini demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19.

Al-Sultan Abdullah menyeru supaya ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka menghentikan segera perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya.

Ahmad Fadli berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat prakabinet di Istana Negara, hari ini.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih sejam dari jam 8 pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November nanti.

Katanya, baginda menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

“Mesyuarat prakabinet antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Prosiding komital Lokman Noor Adam 14 Disember

Eka Hazikah tidak putus asa