in ,

ABPBH kembali dengan norma baharu

Oleh: Syanty Octavia Amry

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kembali lagi bagi edisi ke-33 dimana kali ini menerapkan budaya norma baharu dengan mengangkat tema #ABPBHKITA2020.

Mempertandingkan 13 kategori utama selain lima kategori online, pemilihan artis kegemaran boleh dilakukan bermula 7 Oktober sehingga 8 November ini menerusi laman web ABPBH 33 di www.abpbh.com.my.

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan undian bersama Xiaomi.

Xiaomi adalah penganjur utama ABPBH 33 juga sebuah syarikat elektronik multinasional China yang ditubuhkan pada April 2010 dan beribu pejabat di Beijing.

Acara pada kali ini menyuntik sedikit kelainan dalam proses undian di mana peminat perlu memilih calon Top 20 yang bakal bersaing sehingga nasib mereka ditentukan pada malam kemuncak ABPBH 33.

Pengarang Kumpulan BH yang juga Penaung ABPBH 33, Saidon Idris dalam satu kenyataan berkata, ABPBH tahun ini akan dianjurkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Tema #ABPBHKITA2020 menggambarkan situasi yang sedang kita alami sekarang iaitu norma baharu dalam kehidupan. Sekarang, kitalah yang menjadi petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

“BH sebagai penganjur dan semua pihak yang terbabit dalam penganjuran ABPBH pada tahun ini memainkan peranan yang sangat penting untuk ‘kita jaga diri kita’,”  katanya.

Saidon berkata, matlamat ABPBH dalam setiap penganjurannya akan memastikan terselit mesej berguna dalam tema yang diangkat.

“Kami di BH akan memastikan legasi acara anugerah ini terus terpelihara serta lebih gemilang setiap tahun walau dalam apa situasi yang dihadapi,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia, NSTP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, ABPBH sentiasa berusaha melakukan penyesuaian dan penambahbaikan secara menyeluruh sesuai dengan keadaan semasa.

“Penambahbaikan ini membabitkan pakej tajaan, kandungan, mekanik penganjuran, pencalonan, pengundian sehinggalah aktiviti bersama artis serta kelab peminat yang dilakukan secara virtual bagi memastikan penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan ini kekal relevan,” katanya.

“Pada masa yang sama, kita turut menekankan aspek keselamatan dan berdasarkan SOP yang ditetapkan, acara kemuncak ABPBH pada tahun ini akan diadakan pada skala yang lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Katanya lagi, semua aktiviti, promosi dan publisiti ABPBH 33 juga dijalankan dengan mengoptimumkan pergantungan dan penggunaan platform digital termasuk sosial media.

Dalam pada itu, sebagai penghargaan untuk kelab peminat, penganjur mengadakan pertandingan TikTok di mana peminat perlu membuat video di aplikasi TikTok untuk artis dan selebriti kegemaran mereka dan letakkan #ABPBHKITA2020.

Peminat dan Kelab Peminat yang berjaya menghasilkan kandungan video TikTok yang paling kreatif akan dinobatkan Anugerah FC FANstatik Popular.

Tahun ini juga, buat pertama kalinya dalam sejarah industri seni Malaysia, acara kemuncak ABPBH 33 akan disiarkan secara langsung melalui aplikasi video TikTok pada hari Jumaat, 13 November ini.

Sebarang maklumat lanjut mengenai ABPBH 33, penganjur akan mengadakan sidang media secara maya dan akan disiarkan secara langsung melalui sosial media Facebook dan YouTube BH pada Jumaat ini 9 Oktober, jam 9.00 malam.

Sebanyak 13 kategori utama bakal dipertandingkan antaranya adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom, Artis Kontroversi Popular dan FC FANtastik Popular.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Anwar diperkenan menghadap YDP Agong 13 Oktober

Bekalan air di 274 kawasan di Selangor pulih