in ,

Aaron Aziz sebak lepas anak ke luar negara

Demi mengejar cita-cita dan impian si anak, pelakon, Datuk Aaron Aziz reda melepaskan anak sulungnya, Danish Anaqi, 16, bagi menyambung pelajaran di Jepun.

Biarpun berat hati, Aaron, 44, percaya doanya dan isteri, Datin Diyana Halik sentiasa mengiringi anak lelaki tunggalnya itu.

foto kredit IG Aaron Aziz

Saya dan isteri cuba ingat apa yang kami lakukan ketika usia 16 tahun. Pada waktu itu kami tidak ada peluang seperti yang diperoleh Danish. Justeru, apabila ada tawaran begini, mengapa kita harus lepaskan.

Kami berharap Danish menggunakan peluang ini sebaik-baiknya kerana ini adalah keinginannya. Ini juga sebagai pengalaman yang akan mengajar dia untuk lebih berdikari,” katanya yang berkongsi momen berkenaan di Instagram miliknya.

Aaron berkata, dia sekeluarga berdoa, berharap dan berserah kepada Allah SWT supaya Danish dan anak-anak yang terpilih dari seluruh dunia akan dilindungi daripada perkara yang boleh dilihat dan tidak boleh dilihat.

Kelmarin, Aaron menghantar Danish ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi penerbangan ke Jepun.

Aaron turut memuat naik video mengucapkan selamat tinggal kepada Danish di IG.

Aaron berkata, Danish berangkat ke Jepun bagi mengambil kursus pra diploma di sebuah sekolah selama tiga tahun.

Kira-kira dua tahun lalu, Danish pernah ke sekolah yang sama bagi mengikuti aktiviti musim panas selama dua minggu. Waktu itu, dia tidak boleh membawa telefon dan Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja.

Kami percaya dia selesa di sana kerana ada pengalaman sebelum ini. Kalau nak kata risau, bohonglah kami tidak risau apabila dia perlu menjalani ujian swab sebelum pergi dan apabila tiba nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron berkata, dia tidak pasti bila Danish dibenarkan pulang berikutan pandemik COVID19 yang melanda dunia sekarang.

Katanya lagi, Danish sepatutnya berangkat ke Jepun, Ogos lalu namun tertangguh akibat COVID19.

Selain Danish, Aaron juga mempunyai dua anak perempuan iaitu Dwi Ariana, 14 dan Dahlia Arissa, 10. Aaron dan isteri mendirikan rumah tangga pada 2003.

 

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ANWAR ADAKAN SIDANG MEDIA PETANG INI

Kepentingan Memakai Pelitup Muka