in , ,

90.15 peratus permohonan lanjutan moratorium di bawah MEDAC diluluskan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,710 daripada 18,670 permohonan moratorium dan bantuan bank bersasar diluluskan agensi pembiaya di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sehingga 8 Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kelulusan itu membabitkan agensi pembiaya seperti Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

“Agensi pembiaya di bawah MEDAC mengambil inisiatif proaktif mendapatkan maklum balas mengenai permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar daripada pemilik akaun terutamanya membabitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sehingga 8 Oktober lalu, sebanyak 18,670 permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dengan nilai sebanyak RM6.704 bilion diterima.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10,710 permohonan dengan nilai RM6.04 bilion atau 90.15 peratus diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, jumlah kelulusan permohonan itu adalah Bank Rakyat (RM1.165 bilion), SME Bank (RM4.844 bilion), TEKUN Nasional (RM27.39 juta) dan PNS (RM3.95 juta).

Beliau bagaimanapun berkata, sebanyak 5,422 permohonan dengan nilai RM622.34 juta atau 9.28 peratus, ditolak atas beberapa justifikasi penolakan.

Antaranya, pendapatan pemohon tidak terjejas, pemohon gagal menyediakan bukti pendapatan terjejas, pembiayaan dalam penjadualan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta pembiayaan tertunggak melebihi 90 hari dan tiada sumber bayaran balik.

“Daripada jumlah itu, hanya 1.7 peratus permohonan yang ditolak membabitkan PKS dan baki permohonan adalah pemohon individu.

“Baki permohonan sebanyak 2,538 dengan nilai berjumlah RM41.4 juta atau 0.5 peratus pula, masih dalam proses semakan dan pertimbangan agensi,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19: Semua banduan Penjara Seberang Prai jalani saringan

Lelaki didakwa liwat isteri