in , ,

81 kontraktor bumiputra terlibat dalam projek ECRL

Putrajaya: Dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman berhubung penyertaan kontraktor Bumiputera dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sewaktu sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, adalah tidak tepat.

Kementerian Pengangkutan menerusi satu kenyataan menjelaskan, adalah kurang tepat untuk mengatakan ‘tidak wujud’ penyertaan kontraktor Bumiputera serta tempatan dalam projek ECRL itu.

“Dengan nilai sebanyak RM320 juta sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 81 buah syarikat merangkumi 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal yang majoritinya Bumiputera telah menyertai projek ECRL.

“Jumlah penyertaan itu mencatatkan sebanyak 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan Bumiputera yang dirancang iaitu sebanyak RM3 bilion,” katanya.

Menurut kenyataan, fakta tersebut harus dilihat dalam konteks kemajuan projek bernilai RM50.3 bilion tersebut seperti yang telah dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Parlimen pada Selasa lalu, yang pada masa itu berada pada kadar 23.96 peratus setakat 31 Ogos 2021.

“81 syarikat Bumiputera ini telah berjaya melepasi latihan pra-kelayakan yang dijalankan pada tahun 2017 dan 2019 serta memperoleh kontrak mereka secara kompetitif melalui tawaran dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

“Secara keseluruhan, jumlah penyertaan kontraktor tempatan bagi projek ECRL mempunyai nilai sebanyak RM4.59 bilion dari jumlah yang dirancang sebanyak RM10 bilion (45.9 peratus) dengan 1,368 syarikat mengambil bahagian,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, berdasarkan penjelasan ini adalah fokus bagi menjawab pertanyaan Tajuddin Rahman mengenai penyertaan kontraktor bumiputera dalam ECRL, semasa isu berkenaan dibangkitkan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Rakyat, pada Selasa lalu.

Secara keseluruhan, Kementerian Pengangkutan komited untuk memperingkat dan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan agar mereka dapat turut bersaing dalam projek-projek mega seperti ECRL yang menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan negara.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Rebah rakaat pertama, polis jadi imam meninggal dunia

Asyik tukar kerajaan, Dr Mahathir tiada ‘penawar’ Melaka