in , ,

8 suspek cemar Sungai Gong direman 7 hari

KUALA LUMPUR: Lapan suspek termasuk pengarah sebuah syarikat yang dipercayai terbabit dalam kes pencemaran air Sungai Gong, Rawang, direman selama tujuh hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata semua suspek direman bermula hari ini sehingga 28 Oktober depan.

“Permohonan reman ke atas lapan tangkapan dibenarkan selama tujuh hari oleh Majistret Mahkamah Selayang.

“Suspek diwakili dua orang peguam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan polis menahan seorang lelaki berusia 62 tahun dan anak lelakinya yang juga pengarah sebuah syarikat berusia 31 tahun.

“Polis turut menahan enam pekerja, iaitu dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

“Semua suspek ditahan di Rawang pada jam 11.30 pagi, tadi (semalam),” katanya.

Fadzil berkata, tangkapan itu dibuat susulan insiden pencemaran sungai yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) jam 12.38 pagi pada 19 Oktober lalu.

“Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Susulan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

“Pada jam 2 pagi, beberapa LRA yang lain turut terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

“Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan,” katanya.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lelaki tanpa identiti maut, kepala hancur

Wanita dari Sibu, korban terbaharu Rabies di Sarawak