in ,

8 inisiatif MBSP perangi COVID-19

BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil lapan inisiatif di bawah pelan tindakan segera untuk menangani peningkatan kes COVID-19 dan kewujudan kluster baharu di Seberang Perai yang membimbangkan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata pelan tindakan segera itu pernah diambil sebelum ini dan menunjukkan hasil positif dalam memerangi wabak berkenaan.

“Antaranya mengetatkan kawalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung atau pelanggan yang ingin memasuki pasar awam dan kompleks penjaja MBSP melalui penambahan kakitangan MBSP daripada dua kepada lima orang untuk membuat kawalan dan pemeriksaan suhu badan.

“MBSP juga mengarahkan penganjur pasar pagi dan pasar malam untuk meningkatkan kawalan pematuhan SOP oleh pelanggan kerana ia lokasi berisiko tinggi dan jika ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“MBSP juga akan memperkemaskan perimeter pasar awam dan kompleks penjaja MBSP supaya tiada ruang masuk serta keluar yang tidak dibenarkan digunakan peniaga dan pengunjung, selain mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media melalui siaran langsung di Facebook rasmi MBSP di sini, hari ini.

Rozali berkata, MBSP akan memperbanyakkan operasi pemantauan pematuhan SOP di kawasan perniagaan sekitar Seberang Perai dengan memberikan tumpuan kepada perniagaan berisiko tinggi seperti pusat hiburan, kedai gunting rambut, rawatan kecantikan dan pusat membeli belah.

“Oleh itu, MBSP akan meningkatkan operasi bersepadu bersama jabatan atau agensi penguatkuasaan luar seperti polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di premis perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, MBSP juga akan meningkatkan pelaksanaan sanitasi di pasar awam dan kompleks makanan dalam kawasan mempunyai kes positif setiap hari sebagai langkah tambahan untuk memastikan pasar awam bebas COVID-19.

“MBSP juga menangguhkan semua aktiviti atau program gotong-royong sementara waktu kecuali bagi kawasan diisytiharkan terbabit dengan kes denggi atau chikungunya,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat kluster baharu di Pulau Pinang, iaitu Kluster Alma di Seberang Perai yang merekodkan 17 kes.

Ini menjadikan tiga kluster aktif di negeri ini yang memerlukan rakyat Pulau Pinang meningktakan kewaspadaan.

Pulau Pinang secara keseluruhannya mencatatkan jumlah kumulatif 662 kes, iaitu 452 kes aktif; 207 kes sembuh dan tiga kes kematian.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Injap Jantung Hattan Tersumbat

UMNO, PAS setuju daftar Muafakat Nasional