in ,

44 anggota Polis Selangor jalani kuarantin kendiri

SERDANG: Seramai 44 anggota dan pegawai polis yang bertugas di Selangor, sedang menjalani kuarantin kendiri sebagai langkah berjaga-jaga selepas terdedah dengan individu yang didapati positif COVID-19.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata setakat ini seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan isteri kepada seorang anggota di IPD Kajang, disahkan positif wabak berkenaan.

“Contohnya, macam dulu pernah berlaku di Balai Polis Pandamaran, Klang apabila 33 anggota didapati positif wabak itu.

“Maka, untuk menangani masalah berbangkit, kita menutup operasi di balai itu dan meminta mereka yang nak berurusan dengan polis, pergi balai berhampiran.

“Ikut perkembangan sekarang ini, tiada keperluan untuk tutup IPD dan balai seperti dibuat sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Penolong Pengarah Kepolisan Am Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Razali Abu Samah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Serdang yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Razali bagi menggantikan Asisten Komisioner Ismadi Borhan, yang mengambil alih jawatannya di Bukit Aman.

Mengenai kekuatan polis di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, Noor Azam berkata, pihaknya akan mengerahkan seramai 60 anggota bagi setiap syif bagi memantau kawasan berkenaan.

“Kita sentiasa bersiap siaga dalam apa jua situasi seperti PKPD. Polis sudah menggerakkan semua kekuatan sedia ada di Selangor.

“Kita juga terima bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Selepas 44 hari, ibu jumpa Sandra dalam mimpi

PM Thailand enggan berundur meskipun didesak