in , ,

26 guru di Perlis masih enggan terima vaksin COVID-19

KANGAR: Kumpulan guru yang masih menolak suntikan vaksin COVID-19 di Perlis kekal dalam jumlah sama, iaitu seramai 26 orang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, pihaknya akan memberi sedikit lagi masa untuk kumpulan guru itu terbuka hati bagi menerima vaksinasi, kerana sebahagian daripada mereka mengalami masalah kesihatan dan telah pun dirujuk kepada pihak hospital.

“Buat masa ini, JPN Perlis masih mengambil pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan serta penerangan berkenaan vaksinasi untuk memberi kefahaman yang jelas kepada para pendidik yang masih menolak vaksinasi tanpa alasan kesihatan,” katanya.

Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Ogos lalu, Exco Pendidikan, Rozieana Ahmad mendedahkan, seramai 26 guru termasuk seorang pengetua sekolah di Perlis, masih ragu-ragu dan menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Bagaimanapun pada awal September, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi bin Jidin memaklumkan, para guru yang belum atau enggan menerima vaksin tetap perlu hadir ke sekolah seperti biasa dan melakukan tugasan kecuali mengajar secara bersemuka.

Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas kumpulan guru enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 ini.

Sehubungan itu, JPN Perlis menyasarkan seramai 95 peratus pelajar di bawah 16 tahun di negeri itu akan menerima vaksin COVID-19 sepanjang minggu ini.

Menurut Naharudeen Othman, ini antara usaha dilakukan dalam mewujudkan persekitaran selamat untuk semua pihak terlibat, seterusnya meningkatkan ekosistem pendidikan.

“Di Perlis, murid-murid di bawah 16 tahun saya percaya, 95 peratus daripada mereka akan divaksinasi dalam minggu ini dan ini akan memberikan keyakinan yang penuh bahawa sekolah adalah tempat yang selamat.

“Saya turut meletakkan harapan agar jumlah pelajar yang menolak vaksin COVID-19 di negeri ini tidak ramai dan sokongan daripada ibu bapa sangat penting dalam memastikan kelancaran proses vaksinasi tersebut,’ ujar beliau pada Rabu lalu di Malam Gala Hari Guru Peringkat Negeri Perlis.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 individu pusat kiraan perjudian ditangkap

Perhimpunan BERSIH 1.0 dituduh terima sumber luar negara