in ,

24 penyanyi amatur cabar empat penyanyi profesional dalam Vokal Mania

Empat penyanyi profesional, Aina Abdul, Indah Ruhaila, Lan Solo dan Tomok bakal bertanding dengan 24 orang penyanyi amatur demi mendapatkan sejumlah daripada hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM80,000.

Mereka akan bertanding dalam program realiti terbaharu TV3, Vokal Mania, yang akan disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada jam 9 malam bermula 24 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, pihaknya gembira apabila dapat Kembali dengan program hiburan siaran langsung seperti dulu dan bermula dengan Vokal Mania.

Pelbagai halangan demi halangan terpaksa kita hadapi kerana penularan wabak COVID-19.

Namun begitu, TV3 tetap akan terus menggalas tanggungjawab dalam menyajikan program-program hiburan terbaik untuk tontonan semua.

Vokal Mania mempunyai format serba baharu dan kami harapkan penonton semua dapat berkumpul seisi rumah, seisi keluarga dan merapatkan hubungan silaturahim sambil berhibur bersama kami,” katanya.

Format program ini sedikit berbeza dengan program realiti lain kerana 24 orang penyanyi amatur (Rookie) akan bertanding dengan empat orang penyanyi profesional (Idol) dan berpengalaman.

Setiap persembahan penyanyi (profesional dan amatur) akan dinilai 100 peratus oleh Misha Omar dan Yusry Abdul Halim selaku juri tetap.

Walau bagaimanapun, penonton di rumah boleh mengundi Rookie untuk anugerah ‘Rookie Star Award’ pada setiap episod melalui www.xtra.com.my/vokalmania.

Peratusan undian Rookie Star Award adalah 70 peratus daripada undian awam, dan 30 peratus daripada penilaian juri tetap.

Kesemua Rookie akan dibahagikan kepada enam episod di mana setiap episod akan menampilkan seramai empat orang Rookie membuat persembahan dan berentap dengan keempat-empat Idol secara solo dan duet demi mengumpul mata.

Hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 menanti setiap Rookie yang berjaya menewaskan Idol masing-masing dalam setiap pertarungan.

Pada pusingan akhir nanti, hanya 1 Idol dan 1 Rookie akan dinobatkan sebagai juara bagi kategori masing-masing.

Program sembilan episod itu menampilkan Datuk AC Mizal selaku hos utama dan Azira Shafinaz selaku hos Bersama.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Subang Jaya diisytihar bandar raya mulai hari ini

Injap Jantung Hattan Tersumbat