in ,

20 ribu tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mula dijual pada Sabtu

Kuala Lumpur – Liga Bola Sepak Malaysia atau Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 akan mula dijual pada Sabtu, 27 November ini bermula jam 12.00 tengah hari menerusi laman www.tickethotline.com.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, senarai harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mengikut empat tier, bermula daripada General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium General Admission berharga RM80 hingga Premium Grandstand berharga RM150.

MFL telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019.

“Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut Ramalingam, buat masa ini, sejumlah 20,000 tiket akan dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi MFL telah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah.

“Selain itu MFL juga telah memohon untuk penonton dibenarkan makan dan minum di dalam stadium dan kami berharap permohonan itu akan mendapat pertimbangan sebaiknya daripada pihak MKN,” tambah beliau.

Untuk makluman, perlawanan akhir Piala Malaysia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 30 November ini.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lembah Permai Bukit Belacan dilanda banjir kilat

Tanah runtuh di Cameron Highlands, empat mangsa tersepit kereta dihempap pokok