in ,

2 ‘rumah merah’ diserbu, 13 warga asing ditahan

Kuala Lumpur – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah bertindak menyerbu ke dua premis ‘rumah merah’ pada Rabu lalu, setelah disyaki menyediakan khidmat pelacur warga asing dan berjaya menahan seramai 13 orang warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud berkata, operasi dijalankan ke atas dua buah premis kawasan apartmen kos rendah di kawasan Jalan Pudu setelah dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Menerusi hasil risikan, premis itu dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan tarikan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan berharga RM60 bagi satu langganan.

“Serbuan ke atas kedua-dua premis terbabit telah dijalankan secara serentak oleh unit operasi dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia dengan kekuatan seramai 27 orang pegawai serbuan,” katanya menerusi siaran kenyataan media.

Menurut Khairul Dzaimee, semasa serbuan dijalankan penjaga pintu yang pertama ditahan untuk dibawa ke dalam premis. Cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing serta pelanggan tersekat setelah pegawai serbuan mengepung kesemua jalan keluar dari premis tersebut.

“Modus operandi perkhidmatan ini adalah pelanggan akan berjumpa dengan penjaga pintu kemudian dibawa ke premis bagi tujuan pemilihan pelayan. Dalam serbuan ini, pihak JIM telah menahan seramai 13 orang warga asing yang berumur di antara 20 hingga 40 tahun.

“Mereka terdiri daripada lapan wanita warga Vietnam, empat wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Vietnam. Manakala dua lelaki tempatan yang merupakan penjaga pintu termasuk enam lelaki warga tempatan yang merupakan pelanggan di premis itu dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,” jelas beliau.

Katanya, kegiatan pelacuran ini terbahagi kepada dua shif dan kebiasaanya seorang pelacur mampu melayan sehingga 14 orang pelanggan dalam satu shif.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor bagi siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tambahnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Syafie nafi ditahan polis kes salah guna dadah

Tertuduh kes basikal lajak kekal dibebas dan dilepaskan