in ,

2 premis pelacuran aktif semasa PPN dibanteras Imigresen

Kuala Lumpur – Menerusi satu siri penguatkuasaan Op Gegar yang dilakukan secara berasingan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu dua buah premis yang menyajikan khidmat pelacur wanita warga asing di kawasan Nilai, Negeri Sembilan dan Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua pengarah Imigresen, Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud berkata, siri Op Gegar ini dijalankan bagi membanteras serta menumpaskan kegiatan pelacuran yang aktif dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN)

“Dalam serbuan dijalankan pada 6 dan 7 Oktober 2021, JIM telah berjaya menahan seramai 16 individu yang terdiri daripada 14 orang warga asing dan dua orang warga tempatan,” ujarnya menerusi keluaran kenyataan media.


Katanya, operasi pertama dijalankan pada 6 Oktober ke atas sebuah hotel bajet di Nilai, semasa serbuan pegawai operasi berjaya menahan lima wanita warga asing yang terdiri daripada warganegara Thailand dan Indonesia yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran termasuk seorang lelaki warga asing yang merupakan pelanggan.

“Hasil risikan mendapati, pakej seks di tawarkan ‘flat rate’ RM180 bagi satu langganan dan pelanggan akan terlebih dahulu memilih wanita serta membuat tempahan melalui applikasi ‘Wechat’ dan ‘Telegram’ sebelum berkunjung ke premis terbabit,” kata beliau.

Menurut Khairul Dzaimee, operasi susulan dijalankan pada 7 Oktober di sebuah hotel tiga bintang di Cheras, JIM berjaya menahan seramai lapan wanita terdiri daripada warganegara Indonesia, Thailand dan Vietnam yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral itu termasuk dua lelaki warga tempatan bertugas sebagai penjaga mereka.


“Pergerakan serbuan agak mencabar kerana premis itu dikawal ketat CCTV dan ‘Tonto’ yang bertindak pantas akan menghentikan aktiviti serta menutup premis, sekiranya mengesan sebarang pergerakan yang mencurigai dari pihak berkuasa.

“Bagi mengelakkan dikesan, sindiket mendaftarkan bilik-bilik di hotel tersebut menggunakan nama warga tempatan dan hanya menerima pelanggan yang telah membuat tempahan melalui urusan aplikasi yang sama.

“Perkhidmatan seks ditawarkan berharga RM180 bagi tempoh masa 45 minit dan RM1,800 bagi langganan 24 jam atau sehari. Bayaran perlu dibuat secara atas talian dan kemudian pelanggan diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah sebelum tiba ke hotel,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor. Menerusi rentetan serbuan tersebut, JIM berjaya mengesan serta mengenalpasti beberapa lokasi premis yang merupakan rangkaian sindiket terlibat yang aktif menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Angka mangsa maut akibat ribut tropika di Filipina dijangka meningkat

Cuaca panas melampau dijangka berakhir hujung minggu ini