in ,

15 NEGARA BAKAL TANDATANGANI RCEP

HANOI: Sebanyak 15 negara akan menandatangani satu perjanjian perdagangan Asia, hari ini, dengan harapan ia dapat membantu mereka untuk bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19.

Perkembangan itu sekali gus dilihat sebagai pencapaian besar China dalam usaha negara berkenaan memperluaskan pengaruhnya.

Menurut penganalisis, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal muncul perjanjian perdagangan terbesar di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

RCEP merangkumi 10 ekonomi Asia Tenggara bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

Perjanjian untuk menurunkan tarif dan membuka perdagangan perkhidmatan dalam blok itu, tidak membabitkan Amerika Syarikat (AS) serta dilihat sebagai suatu alternatif diterajui China kepada inisiatif perdagangan oleh Washington.

Pakar perdagangan dari Sekolah Perniagaan, National University of Singapore, Alexander Capri, berkata RCEP memantapkan lagi cita-cita China dalam geopolitik serantau yang lebih luas sekitar Inisiatif ‘Belt and Road’.

Beliau merujuk kepada projek pelaburan khas Beijing yang membayangkan infrastruktur dan pengaruh China di serata dunia.

Perjanjian dihasilkan dalam masa lapan tahun itu akan dimeterai pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan secara maya melalui video berikutan pandemik COVID-19.

Kebanyakan negara terbabit kini bergelut dengan penularan wabak itu, justeru berharap RCEP bakal membantu mengurangkan kesan teruk terhadap ekonomi mereka.

Baru-baru ini, Indonesia terjerumus ke dalam kemelesetan pertama dalam tempoh dua dekad, manakala ekonomi Filipina menguncup sebanyak 11.5 peratus dalam suku tahun yang terbaru.

India menarik diri daripada perjanjian itu, tahun lalu, kerana bimbang akan kemasukan barangan China yang murah ke negara berkenaan, namun boleh menyertainya semula jika mahu kelak.

Meskipun tanpa India, perjanjian itu bakal meliputi 2.1 bilion penduduk dengan anggota RCEP menyumbang kira-kira 30 peratus daripada KDNK global.

Ia berupaya membantu mengurangkan kos dan memudahkan syarikat dengan membenarkan mereka mengeksport produk ke mana-mana sahaja dalam blok berkenaan tanpa perlu memenuhi syarat berasingan bagi setiap negara terbabit. – AFP

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Muhyiddin ucap takziah kematian PM Bahrain

Isu KWSP bukan mahu jatuhkan kerajaan PN