in ,

Kerbau Mowgli Malaysia disuntik vaksin HS

Kuala Terengganu: Sebanyak 52 kerbau keluarga Muhammad Syukur Khamis,15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ diberikan suntikan pelalian penyakit hawar berdarah (HS) dan penyakit kuku dan mulut (FMD), hari ini.

Pemberian suntikan pelalian atau vaksin pencegahan HS dan FMD itu dijalankan oleh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Terengganu.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya memberikan suntikan pelalian pencegahan penyakit HS dan FMD kepada semua ternakan bagi memastikan ia tidak lagi diserang penyakit HS atau FMD.

“Suntikan pelalian HS itu diberikan selepas JPV mengesahkan semua baki ternakan kerbau milik keluarga Muhammad Syukur bebas daripada gejala dan penyakit HS.

“Sebelum ini JPV menjalankan pemantauan dan rawatan setiap hari di kandang kerbau itu. Sebanyak dua kali suntikan antibiotik diberikan kepada semua ternakan yang tinggal itu selain menjalani proses kuarantin di kandang.

“Selepas melihat ternakan tidak lagi mempunyai gejala atau tanda penyakit HS, dua suntikan pelalian dua jenis penyakit itu diberikan JPV pada hari ini.” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohd Termizi berkata, selepas tempoh dua minggu kerbau itu disuntik pelalian HS dan tidak mengalami sebarang masalah pihaknya akan isytiharkan kawasan kandang kerbau itu bebas daripada penyakit HS.

“Buat masa sekarang ini hanya di Marang yang disahkan bebas HS kerana tiada lagi kematian baru direkodkan di kawasan berkenaan dan kematian terakhir ternakan kerana HS pada 2 September lalu.

“Di Kuala Terengganu pula kematian ternakan terakhir direkodkan pada 28 September lalu dan usaha memberikan suntikan pelalian HS itu masih aktif dijalankan.

“Jumlah keseluruhan lembu dan kerbau yang diberikan suntikan pelalian HS ialah sebanyak 1,776 ternakan membabitkan 352 kandang ternakan di Marang dan Kuala Terengganu,” katanya.

Menurutnya, dia harap tiada lagi kematian ternakan yang baru direkodkan seterusnya negeri ini disahkan bebas sepenuhnya daripada penyakit HS.

“Kami harap penternak yang belum mendapatkan suntikan pelalian HS ke atas ternakan mereka segera berbuat demikian bagi mengelakkan berlakunya gelombang kedua penularan penyakit HS itu,” katanya.

-HARIAN METRO

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

AirAsia tak jual data peribadi: JPDP

Firefly jadi syarikat penerbangan nasional, jika Malaysia Airlines ditutup